Thursday, March 6, 2014

Jalan-jalan Pantai Timur - Episod 3 (Terengganu)

Cuaca panas terik mengiringi perjalanan kami semenjak dari hari pertama. Sewaktu memasukki sempadan Terengganu baru kami merasa sedikit hujan. Tetapi masih tidak dapat meredakan kepanasan di luar walaupun sewaktu itu dikatakan cuaca di Pantai Timur mengalami cuaca yang agak sejuk.

Kami mengambil keputusan untuk bermalam di Setiu kerana mengikut perancangan memang kami akan bertolak agak lewat dari Tumpat dan akan tiba di Kuala Terengganu pada waktu malam jika kami ingin bermalam di KT. Tambahan pula kami mengikuti jalan pantai kerana perjalanan ini memang untuk menghayati alam dan hotel di sekitar KT tiada bilik kosong yang mengikut bajet dan keperluan kami. Jadi untuk tidak membebankan 'tuan pemandu ie. encik suami,' kami mengambil keputusan untuk tidur di Setiu. Walaupun tidak banyak pilihan penginapan di Setiu, menginap di Pandan Laut Resort Beach merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Resort ini terletak di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu. Kawasan pantai ini amat bersih jika dibandingkan dengan Pantai Sri Tujoh sebelum ini.


Pantai Rhu Sepuluh

Tempahan dibuat seminggu sebelum ini. Kami tinggal di Jambu Laut Deluxe Room yang merupakan sebuah chalet yang berbentuk rumah Melayu. Terdapat 2 katil bersaiz 'Queen' dan kelengkapan lain adalah sama seperti hotel budget yang lain iaitu bilik mandi, peti ais, cerek dan tv berserta Astro. Cuma di sini tidak disediakan 'complimentary breakfast'.

Pantai Rhu Sepuluh

Mandi-manda
Pandan Laut Beach Resort - Chalet
Pandan Laut Beach Resort

Pemandangan awal pagi di Pandan Laut Beach Resort

Pantai untuk mandi-manda berjarak 300 meter dari kawasan resort. Nasib kami baik kerana keadaan ombak tidak berapa tinggi, jadi anak-anak dapat mandi-manda di pantai pada petang itu. Aku dan suami keluar untuk membeli makanan. Mujur kedai yang menjual ikan celup tepung (ICT - makanan snek yang terkenal di Terengganu) terletak tidak jauh dari resort (tak ingat pulak nama kedainya). Harganya amat berpatutan memandangkan ikan, udang dan sotongnya amat segar. Bagi yang ingin ber'BBQ', terdapat pasar nelayan yang menjual ikan dan makanan laut bertentangan dengan kedai ini. Ikan-ikan yang baru naik dibawa oleh nelayan untuk dijual di sini.

Kami kemudian ke restoran lain untuk membeli nasi goreng....jamuan makan malam kami adalah nasi goreng dan ICT di dalam bilik di resort;-) Semua makan dengan berselera setelah penat berendam di laut.

Keesokan harinya, aku dan suami keluar untuk membeli sarapan berdekatan masjid tidak jauh dari resort se awal jam 7.30 pagi. Memang cuaca agak sejuk sekitar 19 C (menurut bacaan di telefon pintar). Hembusan angin yang membuatkan sejuk. Seperti biasa kalau di Terengganu, akan ada nasi dagang, nasi minyak dan juga bermacam-macam kuih. Selepas sarapan, anak-anak sekali lagi turun ke laut untuk mandi-manda.

Perjalanan santai kami diteruskan dan persinggahan seterusnya adalah Kuala Terengganu. Sebelum itu kami singgah di Universiti Malaysia Terengganu kerana anakku Ika ingin melihat keadaan persekitaran UMT. Memang cantik tambahan pula ia terletak di tepi pantai.

Destinasi seterusnya adalah Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man berdekatan dengan Losong. Nasib kami agak baik kerana kami ke sini pada hari bekerja, jadi orang tidak ramai di sini. Jadi agak mudah untuk berjalan-jalan di dalam persekitaran TTI. Pelawat diberi pilihan samada ingin berjalan kaki, menyewa basikal (seorang, 'tandem bike' atau basikal yg boleh dikayuh oleh 6 orang) atau 'buggy. Kami memilih untuk menyewa 'buggy' memandangkan aku memang tak boleh 'menapak' terlalu jauh.

Taman Tamadun Islam
Kami meronda sekitar TTI selama lebih kurang sejam dengan diberi penerangan oleh pemandu 'buggy' yang juga merangkap pemandu pelancong. Setelah makan tengahari di medan selera berdekatan kami ke Masjid Kristal untuk solat jama' Zohor dan Asar.

Melancong ke Kuala Terengganu tidak sah kalau tidak ke Pasar Payang. Dapat juga membeli kaftan dan seluar batik di situ. Aku amat meminati barang-barang tembaga di situ, malangnya harganya agak mahal dan berat. Ada rezeki, aku ingin ke sini lagi;-) Selepas berada di situ lebih kurang 1 jam kami meneruskan perjalanan memandangkan hari dah petang dan kami akan menginap di Rantau Abang. Kami bermalam di Awang's Beach Bungalow.

Pantai Rantau Abang - berdekatan Awang Beach Bungalow
Penginapan asas yang berada betul-betul di tepi pantai. Setelah daftar-masuk, sekitar jam 6.00 petang kami dibawa melawat ke pusat penetasan penyu yang berdekatan resort ini. Anak-anakku amat teruja melihat penyu-penyu tersebut. Cuma ada seekor penyu yang besar dan dalam 10 ekor anaknya.

Kami terlena dalam kegelapan kerana seluruh daerah itu tiada bekalan elektrik (black-out) sewaktu kami makan malam:-( Mujur angin laut tidak panas pada malam itu, jadi taklah berpeluh.

Persinggahan kami seterusnya adalah Kuantan.....akan bersambung.

No comments:

Post a Comment