Perjalanan diteruskan pada keesokan harinya. Setelah bersarapan di hotel, kami memulakan perjalanan pada jam 9.00 pagi. Singgah sebentar di Kem Tentera Pulau Banding yang terletak berhampiran hotel untuk bergambar. Di sini telah didirikan satu tugu berbentuk kereta kebal bagi memperingati askar-askar yang terkorban akibat serangan komunis sewaktu pembinaan Lebuhraya Timur-Barat ini.
Hehehe...gambar di kiri adalah matahari terbit di Norway dan di kanan adalah di Pulau Banding. Mana lebih cantik? |
Matahari terbit...cantikkan? |
Dataran Juang Tentera Darat |
Di sini tertulis nama semua anggota tentera yang terkorban sewaktu menentang pengganas komunis.
Perjalanan kami melalui Lebuhraya Timur Barat merentasi Banjaran Titiwangsa dihidangkan dengan pemandangan indah gunung-ganang, jurang dan curam. Memandangkan hari masih pagi, tidak banyak kereta yang kelihatan dan ini melancarkan perjalanan kami.
1. Rantau Panjang
Alhamdulillah perjalanan lancar dan kami sampai di Rantau Panjang sekitar jam 12.30 tengahari. Rancangan kami untuk singgah di Komplek Bebas Cukai Rantau Panjang terpaksa dibatalkan memandangkan kesesakan teruk yang berlaku di jalan masuk dan di dalam Kompleks tersebut. Nak mencari tempat parkir kenderaan pun susah. Kami terus keluar dan singgah di Masjid Beijing untuk ke bilik air.
Masjid Beijing agak unik rekaannya memandangkan ianya mirip senibina masjid di negara China. Hayati gambar-gambar ini.
2. Kota Bharu
Kami terus ke Kota Bharu untuk daftar-masuk ke 'homestay' (apartment) yang telah ditempah. Kali ini kami menginap di C Chantique Villa Hotel Apartment di Bangunan KTC. Kawasan ini agak strategik kerana berada di tengah bandar KB, berdepan dengan Stadium Sultan dan bersebelahan dengan Pusat Pakar Perdana.
Selesai urusan daftar-masuk kami terus ke Pasar Siti Khadijah untuk makan tengahari. Selesai makan kami meronda-ronda di sekitar pasar yang menawarkan bermacam-macam barangan dari kain batik, kain ela, baju-baju, keropok, serunding, sayur-rayuran dan sebagainya. Pertama kali makan di medan selera di sini. Kami mencuba makanan berasaskan sup. Memang enak dan terdapat juga dijual makanan laut seperti udang, sotong yang bersaiz agak besar.
Lokasi seterusnya adalah Bazar Tok Guru. Bazar ini agak baru dibuka dan cuma menjual pakaian siap dan tudung. Ada juga 2 -3 kedai yang menjual pinggan-mangkuk dan barang keperluan dapur. Anak-anak daraku memborong tudung bawal polos yang berharga RM5.00 sehelai dan beberapa helai baju. Kawasan di dalam bazar memang bersih dan kurang sesak, jadi agak mudah untuk berjalan-jalan di dalam bazar.
Memandangkan hari sudah agak petang sewaktu kami keluar dari Bazar Tok Guru dan badan pun dah penat kami terus ke apartment untuk berehat dan membersihkan diri. Malamnya kami cuma makan di kafe di bahagian bawah apartment.
Esoknya, awal pagi aku dan suami keluar untuk mencari sarapan. Tuan punya apartment ada memberikan senarai kedai-kedai makan yang wajib dicuba di KB. Kami ingin mencuba Nasi Kerabu Golok, malangnya kedai tersebut tutup memandangkan hari itu masih cuti umum di Kelantan. Mahu atau tidak terpaksalah kami makan dan beli di kedai yang terdekat yang kami jumpa.
3. Kompleks Bebas Cukai Pengkalan Kubor
Selesai daftar-keluar, kami ke Kompleks Bebas Cukai Pengkalan Kubor. Perjalanan ke sini mengambil masa 30 minit. Agak mudah untuk mendapatkan tempat parkir kerana kami tiba di situ pukul 11.00 pagi. Kalau ikutkan nafsu, banyak juga barang yang menarik untuk dibeli. Tetapi memandangkan ruang bagasi yang terhad di dalam kereta, terpaksalah dipendamkan hajat tu. Kami cuma beli coklat, beg, kekacang dan cenderahati kecil. Sewaktu kami keluar dari kompleks tersebut, kelihatan deretan kenderaan yang panjang untuk masuk ke situ.
4. Tumpat
Kami ke arah Tumpat dan singgah sebentar di Pantai Sri Tujuh memandangkan kami memang tidak pernah ke situ. Sesi fotografi diteruskan sambil menikmati keropok lekor dan suasana angin sepoi-sepoi bahasa.
Stesen Keretapi Tumpat merupakan stesen keretapi (KTMB) yang terakhir bagi Laluan Pantai Timur yang bermula di Gemas, Negeri Sembilan.
Perjalanan diteruskan ke persinggahan seterusnya iaitu Setiu, Terengganu. Kenapa kami tidur di Setiu? Sambungannya di 'entry' seterusnya...
No comments:
Post a Comment