Monday, March 10, 2014

Jalan-jalan Pantai Timur - Episod 4 (Kuantan)

Kuantan menjadi persinggahan terakhir kami. Kali terakhir kami ke sini adalah pada bulan Disember 2011. Waktu tu musim tengkujuh dan hujan sepanjang 2 hari kami di sini. Memang tak dapat nak berjalan ke mana-mana. Jadi pada kali ini rancangannya untuk anak-anak ke Taman Tema Air Bukit Gambang

Kami menginap di Hotel Mega View yang betul-betul terletak di tepi Sungai Kuantan. Hotel ini terletak di Jalan Besar dan mudah untuk mencari tempat makan kerana berhampiran dengan pusat bandar dan jika nak ke Tanjung Lumpur (tempat makan makanan laut) pun tidak berapa jauh. Malamnya kami ke sana. Banyak yang aku baca di blog-blog Restoran Ana Ikan Bakar Petai amat popular. Kami memilih untuk ke tempat lain, dengan menyusuri jalan masuk ke perkampungan nelayan Tanjung Lumpur. 

Di dalam sana terdapat 1 lagi restoran dan belum ada orang sewaktu kami tiba kerana baru jam 7.45 malam. Restorannya bersih dan terdapat ikan, udang, ketam, sotong, lala dan kupang yang kelihatan segar. Menu pilihan kami ikan bakar, kupang sambal dan ketam goreng pedas. Masakannya sedap, harga berpatutan dan yang penting boleh makan dengan santai kerana orang tak ramai dan tidak perlu menunggu lama. Berkemungkinan orang tidak berapa ramai ke sini kerana kedai makan ini terletak terlalu ke dalam kampung manakala restoran-restoran yang popular itu terletak di persimpangan jalan masuk ke kampung ini.

Esoknya kami ke Taman Tema Air Bukit Gambang. Anak-anak puas main air dan dapat mencuba semua mainan di situ kerana pengunjung tidak ramai. Pukul 3.30 petang baru kami keluar dari sini. Singgah solat jamak di sebuah masjid berdekatan kami terus ke Pantai Batu Hitam, Beserah.

Taman Tema Air Bukit Gambang
Banyak kenangan di sini. Sewaktu masih menuntut aku pernah ke sini bersama-sama kawan-kawanku R, A, N dan I kerana rumah keluarga I terletak berdekatan dengan pantai ini. Setelah bergambar (aktiviti wajib), Medan Selera Pantai Batu Hitam kami tuju. Menu kami petang tu, mee calung, rojak ayam, nasi goreng pataya dan udang goreng tepung. Semua tu antara menu yang terkenal di sini.

Sungai Kuantan & Pantai Batu Hitam
Malamnya kami tak ke mana-mana...hanya menonton tv di bilik hotel.

Esoknya selepas sarapan, aku ke bakeri milik juniorku sewaktu di STF iaitu Intan Baizura...Intan's Oven menjual pelbagai jenis biskut (cookies), roti dan kek. Biskut-biskut buatan Intan ini memang laris dan telah menembusi pasaran Negara China. Jadi sesiapa yang ada dan akan ke Kuantan boleh singgah di bakeri ni. Cuma berjalan kaki dari hotel Megaview. 

Berakhirlah kembara kami ke Pantai Timur dan kami tiba di rumah dengan cuaca masih panas terik.


No comments:

Post a Comment