Friday, February 28, 2014

Jalan-jalan Pantai Timur - Episod 2 (Kelantan)



Perjalanan diteruskan pada keesokan harinya. Setelah bersarapan di hotel, kami memulakan perjalanan pada jam 9.00 pagi. Singgah sebentar di Kem Tentera Pulau Banding yang terletak berhampiran hotel untuk bergambar. Di sini telah didirikan satu tugu berbentuk kereta kebal bagi memperingati askar-askar yang terkorban akibat serangan komunis sewaktu pembinaan Lebuhraya Timur-Barat ini.

Hehehe...gambar di kiri adalah matahari terbit di Norway dan di kanan adalah di Pulau Banding. Mana lebih cantik? 

Matahari terbit...cantikkan?



Dataran Juang Tentera Darat




Di sini tertulis nama semua anggota tentera yang terkorban sewaktu menentang pengganas komunis. 

Perjalanan kami melalui Lebuhraya Timur Barat merentasi Banjaran Titiwangsa dihidangkan dengan pemandangan indah gunung-ganang, jurang dan curam. Memandangkan hari masih pagi, tidak banyak kereta yang kelihatan dan ini melancarkan perjalanan kami.



1.  Rantau Panjang

Alhamdulillah perjalanan lancar dan kami sampai di Rantau Panjang sekitar jam 12.30 tengahari. Rancangan kami untuk singgah di Komplek Bebas Cukai Rantau Panjang terpaksa dibatalkan memandangkan kesesakan teruk yang berlaku di jalan masuk dan di dalam Kompleks tersebut. Nak mencari tempat parkir kenderaan pun susah. Kami terus keluar dan singgah di Masjid Beijing untuk ke bilik air.

Masjid Beijing agak unik rekaannya memandangkan ianya mirip senibina masjid di negara China. Hayati gambar-gambar ini.


2.  Kota Bharu

Kami terus ke Kota Bharu untuk daftar-masuk ke 'homestay' (apartment) yang telah ditempah. Kali ini kami menginap di C Chantique Villa Hotel Apartment di Bangunan KTC. Kawasan ini agak strategik kerana berada di tengah bandar KB, berdepan dengan Stadium Sultan dan bersebelahan dengan Pusat Pakar Perdana.

Selesai urusan daftar-masuk kami terus ke Pasar Siti Khadijah untuk makan tengahari. Selesai makan kami meronda-ronda di sekitar pasar yang menawarkan bermacam-macam barangan dari kain batik, kain ela, baju-baju, keropok, serunding, sayur-rayuran dan sebagainya. Pertama kali makan di medan selera di sini. Kami mencuba makanan berasaskan sup. Memang enak dan terdapat juga dijual makanan laut seperti udang, sotong yang bersaiz agak besar.

Lokasi seterusnya adalah Bazar Tok Guru. Bazar ini agak baru dibuka dan cuma menjual pakaian siap dan tudung. Ada juga 2 -3 kedai yang menjual pinggan-mangkuk dan barang keperluan dapur. Anak-anak daraku memborong tudung bawal polos yang berharga RM5.00 sehelai dan beberapa helai baju. Kawasan di dalam bazar memang bersih dan kurang sesak, jadi agak mudah untuk berjalan-jalan di dalam bazar.

Memandangkan hari sudah agak petang sewaktu kami keluar dari Bazar Tok Guru dan badan pun dah penat kami terus ke apartment untuk berehat dan membersihkan diri. Malamnya kami cuma makan di kafe di bahagian bawah apartment.

Esoknya, awal pagi aku dan suami keluar untuk mencari sarapan. Tuan punya apartment ada memberikan senarai kedai-kedai makan yang wajib dicuba di KB. Kami ingin mencuba Nasi Kerabu Golok, malangnya kedai tersebut tutup memandangkan hari itu masih cuti umum di Kelantan. Mahu atau tidak terpaksalah kami makan dan beli di kedai yang terdekat yang kami jumpa.

3.  Kompleks Bebas Cukai Pengkalan Kubor

Selesai daftar-keluar, kami ke Kompleks Bebas Cukai Pengkalan Kubor. Perjalanan ke sini mengambil masa 30 minit. Agak mudah untuk mendapatkan tempat parkir kerana kami tiba di situ pukul 11.00 pagi. Kalau ikutkan nafsu, banyak juga barang yang menarik untuk dibeli. Tetapi memandangkan ruang bagasi yang terhad di dalam kereta, terpaksalah dipendamkan hajat tu. Kami cuma beli coklat, beg, kekacang dan cenderahati kecil. Sewaktu kami keluar dari kompleks tersebut, kelihatan deretan kenderaan yang panjang untuk masuk ke situ.






4.  Tumpat

Kami ke arah Tumpat dan singgah sebentar di Pantai Sri Tujuh memandangkan kami memang tidak pernah ke situ. Sesi fotografi diteruskan sambil menikmati keropok lekor dan suasana angin sepoi-sepoi bahasa. 








Kami juga sempat singgah di Pasar Pekan Tumpat untuk membeli serunding daging.


Stesen Keretapi Tumpat merupakan stesen keretapi (KTMB) yang terakhir bagi Laluan Pantai Timur yang bermula di Gemas, Negeri Sembilan.

Perjalanan diteruskan ke persinggahan seterusnya iaitu Setiu, Terengganu. Kenapa kami tidur di Setiu? Sambungannya di 'entry' seterusnya...

Wednesday, February 19, 2014

Jalan-jalan Pantai Timur - Episod 1 (Perak)

Sewaktu cuti Tahun Baru Cina yang baru ni kami sekeluarga telah berkelana ke Pantai Timur. Kali terakhir kami ke KelantanTapi  adalah pada tahun 1999. Waktu itu anakku Ika berumur 5 tahun dan Afa 2 tahun. Kami ke sana untuk menjemput anak saudaraku F kerana dia telah tamat pengajian pra-universitinya di sana. 

Perancangan dibuat 2 minggu sebelum Tahun Baru Cina. Pada mulanya agak risau juga takut tiada hotel untuk bermalam di sana. Aku cuba membuat tempahan melalui Agoda tapi kebanyakannya habis ditempah dan kalau ada pun tidak memenuhi kriteria yang kami mahukan. Aku pun terus menelefon terus ke hotel-hotel dan 'homestay' yang berkenaan. Tuah menyebelahi kami, semua dapat diuruskan dengan bajet yang kami tetapkan.

Sebelum ini kami biasanya ke Pantai Timur menggunakan jalan KL-Bentong-Kuala Lipis-Gua Musang-Kota Bharu. Tapi pada kali ini kami melalui 'route' KL-Kuala Kangsar-Gerik-Rantau Panjang-Kota Bharu kerana pada agakan kami jalan ke Bentong pasti akan sesak kerana cuti hujung minggu yang panjang. Kami bertolak awal pagi Jumaat melalui Lebuhraya PLUS dan bersarapan pagi di pekan Tapah kerana dua kali masuk ke R n R Rawang dan Tapah, keadaan di sana amat penuh hingga tiada tempat untuk parkir kenderaan.

Kami keluar di tol Kuala Kangsar dan meneruskan perjalanan arah ke Gerik. Sempat singgah menikmati pemandangan indah Tasik Raban dan Galeri Arkeologi Kota Tampan (tempat Perak Man). Kami makan tengahari di pekan Gerik sebelum check-in di Banding Lakeside Inn. Perjalanan lebih kurang 5 jam dari KL agak meletihkan kerana hari panas. Tapi amat berbaloi kerana kami dihidangkan dengan pemandangan indah di Pulau Banding. Info berkenaan Tasik Banding di SINI.

1. Tasik Raban

Sebelum ke sini dah baca sedikit sebanyak info di SINI. Memang cantik pemandangan di sini. Orang pun tak ramai. Ada medan selera di tengah tasik. Tapi kami tak makan di sini kerana masih kenyang kerana sarapan agak lambat di Tapah. Hanya turun ambil gambar.


2. Galeri Arkeologi Kota Tampan

Tak dapat masuk melihat kerana telah kami sampai di sana jam 12.30 tengahari dan telah ditutup untuk solat Jumaat. Teruja nak pergi selepas menonton paparan di Majalah Tiga pada tahun lepas.



3. Banding Lakeside Inn

Hanya terdapat 2 hotel di Pulau Banding, Empangan Cenderoh ini. Banding Lakeside Inn (BLI) dan Belum Rainforest Resort (BRR). Kami memilih yang BLI kerana harganya agak berpatutan untuk kami 6 beranak, manakala BRR menawarkan harga premium...untuk yang bebulan madu mungkin lebih sesuai. Tempat makan cuma ada 2 tempat di sini, sama ada nak makan di hotel atau kedai makan yang terletak lebih kurang 3 km dari hotel...kena menyeberang jambatan. Kedai makan ini terletak berhampiran jeti untuk mereka yang minat memancing. Jangan terkejut jika anda lihat limpahan kereta yang parkir di situ. Kereta je yang banyak, orangnya yang makan di situ tak seramai mana pun. Rupanya mereka parkir kereta di situ dan menaikki bot atau 'house boat' untuk ke lubuk-lubuk ikan di sekitar Empangan Cenderoh ini. 

Boleh tahan makanan di situ dari segi harga dan rasa. Cuma kena lebih sabar menunggu memandangkan pekerjanya tak ramai. Apa pun kami berpuas hati. Tidak mustahil kami akan ke sini lagi suatu waktu nanti. Gambar-gambar lain akan dimuat-naik kemudian.




Saturday, February 15, 2014

Kemunculan Semula;-)

Assalamu'alaikum

Setelah lebih kurang 4 tahun 3 hari menyepi, hari ni baru ada kerajinan untuk meneruskan tulisan di blog yang tak seberapanya ini. Lama betul. Ini boleh juga dikaitkan dengan faktor kesibukan, kewujudan Facebook yang lebih interaktif untuk mengetahui cerita-ceriti berkenaan ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai. 

Memang tidak dinafikan FB lebih mudah dan lebih santai untuk mengemaskini segala status. Tapi blog lebih puas untuk bercerita dan meluahkan segala ilham dan mengasah minda untuk mengeluarkan segala kreativiti dalam penulisan.

Semalam selepas diberi dorongan oleh adikku K dan anak saudaraku F, pagi ni rasa berkobar-kobar pulak untuk meneruskan coretan di blog ini. Aku cuma blogger picisan yang menulis dari pemerhatian dalam kehidupan seharian. Tulisanku cuma untuk mengasah otak supaya boleh berfikir dan menulis dari hati memandangkan bila sudah tidak bekerja, memang amat jarang menggunakan pen dan komputer. Komputer cuma digunakan untuk perbankan internet (bayar bil-bil, beli-belah dsbnya). Pen cuma untuk menulis resepi (cara lama sebab malas nak guna komputer di dapur). Tambahan pula dengan adanya telefon pintar sekarang, jadi di mana-mana boleh mengakses maklumat. Tapi untuk berblog, lebih puas menulis menggunakan komputer riba sebab rasanya lebih laju menaip menggunakan papan kekunci.

Hmmm...apa nak cerita ye? K dan F mencadangkan buat travelogue. Menarik juga, memandangkan kami memang suka mengembara ke tempat orang. Setakat ni baru di dalam Malaysia dan Indonesia sahaja. Belum ada rezeki lagi nak terbang ke negara lain. Insyaallah boleh juga diselang-selikan dengan tempat-tempat makan yang menarik, resipi dan petua orang tua-tua. 

Jika ada manfaat tulisanku ini kepada pembaca, Alhamdulillah....jika tidak anggaplah ia sebagai salah satu rencah kehidupan yang ada pahit dan manisnya.