Sunday, September 13, 2015

MAK DALAM KENANGAN - 13 SEPTEMBER 1991

Masih teringat lagi, malam tu lebih kurang pukul 11.30 malam hari Jumaat aku & beberapa teman rapat sedang lepak di bilik TV di asrama U**M. (Waktu tu aku di semester 1 tahun akhir pengajian). Kedengaran pengumuman melalui pembesar suara yang menyatakan ada pelawat yang ingin berjumpaku. Bila aku keluar, kulihat Abg F***h datang dan mengajakku pulang ke kampung. Hati rasa tak sedap; pertama: dia tak pernah datang melawatku dan kedua: hari dah tengah malam. Bila kutanya kenapa, dia tak nak bagitahu. Aku berkeras menyatakan jika tak diberitahu sebabnya, aku tak mahu ikut pulang.

Dia terpaksa memberitahu yang Mak dah dijemput oleh Penciptanya pada jam 10.00 malam tu. Bila mendengar berita tu, aku terus rasa tak keruan. Sedih, rasa kehilangan dan sebagainya. Pada siangnya semasa menghantar adikku ke Puduraya (dia nak pulang ke I*M Dungun kerana cuti semesternya dah berakhir) aku memang telah membeli tiket bas untuk pulang ke kampung pada keesokan harinya (Sabtu) kerana Adik ada memberitahu yang Mak demam. Jadi aku bercadang untuk balik dan lihat keadaanya.

Nak dipendekkan cerita malam tu aku dibawa pulang oleh Abang F***h. Suasana agak sunyi dalam kereta hinggalah sampai ke kampung. Menurut kata Akak, Mak dah demam dalam 2-3 hari. Malam tu pukul 9.00 lebih Mak kata dia rasa sesak nafas dan minta Akak bawa dia ke klinik. Akak dan Udo (suami Akak) pun bawa Mak ke klinik. Tapi dalam perjalanan tu, lebih tepat lagi sewaktu melalui tengah sawah nak ke jalan besar tu, Mak rasa sangat sesak nafasnya. Akak pangku Mak dan Mak tarik nafas beberapa kali, Akak minta Mak mengucap dan terus terkulai di pangkuan Akak. Perjalanan ke klinik diteruskan, tapi bukan untuk merawat tetapi untuk mengesahkan kematian. Setelah selesai semua urusan, jenazah Mak pun dibawa pulang ke rumah. 

Aku sampai di kampung dalam pukul 2.30 pagi. Terus lihat jenazah Mak, sangat tenang wajahnya. Bacakan ayat-ayat suci Al Quran. Jenazah dimandikan sekitar jam 10.00 pagi keesokan harinya. Kami semua anak-anak perempuan dan keluarga terdekat memandikannya. Jasadnya sangat bersih dan urusannya sangat mudah. Setelah dikafankan, jenazah dibawa ke Masjid Lonek, disembahyangkan dan dikebumikan di sebelah pusara abangku Mohd Rais yang meninggalkan kami pada tahun 1973.

Setiap kali teringatkan Mak, secara automatik airmata akan mengalir laju. Teringat pengorbanannya yang aku sendiri takkan terbuat macam mana yang dia dah lalui dan lakukan. Membesarkan anak seramai 7 orang tanpa sebarang kemudahan di rumah seperti sekarang. 7 orang dengan 7 ragam.

Pengorbanan kasih-sayang dengan mak tua kerana Mak isteri kedua. Pengorbanan menyekolahkan anak-anak walaupun dia sendiri tak pandai membaca rumi (kemudian Mak masuk kelas dewasa yang membolehkan beliau membaca rumi yang tulisannya besar-besar). Alhamdulillah Mak boleh membaca tulisan jawi dan ini memudahkan mak membaca Al Quran. Rasanya arwah abah yang ajar. Ini kerana abah memang boleh faham Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

Aku dilahirkan ketika Mak berumur 41 dan Adik ketika mak berumur 44 tahun. Di umur itu kalau nak ikutkan kudrat Mak taklah sekuat mana. Tapi di hari-hari yang giliran abah di rumah mak tua, Mak akan hantar aku dan adik ke sekolah dengan motor Suzuki terpakai yang abah belikan dari seorang pekerja Indonesia di kampung kami (BAU 5531). 'Spot' yang selalu Mak turunkan dan tunggu kami adalah di bawah pokok manggis di luar kawasan sekolah. Tak kira hujan atau pun panas. Pokok manggis tu pun dah tiada lagi di situ. Kadang-kadang aku naik basikal ke sekolah, itu pun kalau ada aktiviti ko-kurikulum atau projek tanam sayur di sekolah. Jika tak memang Mak akan hantar.

Masih ingat lagi waktu aku nak pergi temuduga untuk masuk matrikulasi U**M, abah baru meninggal masa tu. Aku pergi interview tu pun menumpang kereta I**h (kawan baik dari sekolah rendah). Ayah dan sepupunya tolong hantarkan kami. Pagi-pagi lepas subuh Mak hantar aku ke rumah I**h sebab nak bertolak awal. Rumah I**h terletak lebih kurang 5 km dari rumah kami. Alhamdulillah kami berdua berjaya dalam temuduga tu dan berjaya menamatkan pengajian & dapat menggenggam segulung ijazah. Ini semua adalah berkat dari doa dari ibu bapa kami. 

Hari ni genaplah 24 tahun Mak meninggalkan kami. Mak tak dapat melihat 2 anaknya yang berjaya ke universiti mendapat ijazah dan berkahwin  tapi aku percaya Allah akan memberi ganjaran kepada ilmu yang bermanfaat yang diajarkan oleh setiap ibubapa kepada anaknya. Moga itu menjadi 'bonus' yang berpanjangan buat semua ibubapa hingga ke akhirat.

Moga Mak, Abah, Ateh dan semua waris yang telah mendahului kami ditempatkan di kalangan orang beriman. Aamiin.


*Coretan lain berkenaan Mak akan menyusul